CYBERJAYA, 8 Ogos - Malaysia menerima maklum balas positif daripada beberapa kuasa besar dunia, termasuk Presiden Brazil, Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur, Oktober ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kehadiran pemimpin-pemimpin dunia itu dijangka menjadikan sidang berkenaan sebagai medan pertemuan strategik antara kuasa besar dan rantau ASEAN, sekali gus menarik perhatian global terhadap peranannya.
“Kami menanti-nantikan kehadiran ketua-ketua kerajaan ASEAN serta rakan dialog, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Presiden Donald Trump, dan saya percaya juga Presiden Xi Jinping dari China.
“Selain itu, kami telah menerima maklum balas positif daripada Presiden Brazil, Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, yang kini memimpin BRICS dan juga G20,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Sambutan Hari ASEAN Ke-58 di Cyberjaya.
Menurut Perdana Menteri, lawatan pemimpin-pemimpin dunia ini perlu dimanfaatkan untuk menunjukkan keupayaan sebenar Malaysia dan ASEAN di pentas antarabangsa, terutamanya dalam memastikan hasil pertemuan itu memberi impak berkekalan.
“Keamanan antara negara dan dalam negara adalah asas kepada komuniti ASEAN. Kita tidak boleh menganggapnya sebagai sesuatu yang kekal tanpa usaha, dan kita tidak boleh melupakan tanggungjawab untuk mencari penyelesaian terhadap cabaran serta krisis yang timbul,” katanya.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar menyatakan bahawa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan sidang kemuncak berkaitan yang akan diadakan di Kuala Lumpur, Oktober ini, dijangka menjadi antara yang terbesar dalam sejarah penganjuran tersebut.