fb fb fb fb fb

Festival Kebudayaan Orang Asli Selangor perkukuh perpaduan, persefahaman

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos - Festival Kebudayaan Orang Asli Selangor kembali dianjurkan esok di Kampung Orang Asli Kelinsing, Sepang, sempena dengan sambutan Hari Orang Asal Sedunia.

Program itu diadakan kali terakhir pada 2018 sebelum terhenti akibat pandemik COVID-19.

Exco Sumber Manusia, Pembasmian Kemiskinan, Hal Ehwal Orang Asli dan Minoriti Negeri Selangor, V. Papparaidu berkata, festival itu menjadi platform untuk memperkukuh perpaduan dan persefahaman antara komuniti orang asli dan masyarakat umum melalui interaksi sosial yang sihat dan inklusif.

"Festival ini adalah pengiktirafan kepada masyarakat orang asli bahawa mereka sebahagian daripada kita, warganegara Malaysia, dan perlu diangkat bersama dalam pembangunan negara.

"Saya harap mereka terus menjadi penggerak utama memelihara budaya dan warisan kita," katanya ketika ditemui selepas program Selamat Pagi Malaysia di sini hari ini.

Sebanyak 74 kampung orang asli di seluruh Selangor terlibat, merangkumi pelbagai suku kaum seperti Temuan, Mah Meri dan Semai, dengan populasi keseluruhan melebihi 20,000 orang.

Antara pengisian yang disediakan termasuk persembahan kebudayaan, bengkel seni kraf tangan, pertandingan menyumpit dan busana tradisional, selain pelbagai pameran serta perkhidmatan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Ketua Unit Orang Asli, Juli Blat berkata, festival tersebut sangat dinanti-nantikan oleh masyarakat orang asli dari seluruh negeri.

"Negeri Selangor adalah negeri pertama yang meraikan Hari Orang Asal Sedunia pada 9 Ogos dan melibatkan penyertaan masyarakat orang asli dari seluruh negeri. Tahun ini, kami gembira ia dapat dianjurkan semula," katanya.

Festival itu menjadi simbol komitmen Kerajaan Selangor untuk membangunkan masyarakat orang asli secara menyeluruh dan inklusif, selain menyokong agenda pelancongan budaya berasaskan komuniti.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM