CYBERJAYA, 8 Ogos - Pengukuhan perdagangan intra-ASEAN, pembangunan grid tenaga serantau dan peningkatan keterhubungan menjadi antara agenda utama Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang dijadual berlangsung Oktober ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama rentas sempadan dalam kalangan negara anggota perlu diperkasa bagi membina jaringan ekonomi yang saling melengkapi, seterusnya memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai blok yang strategik dan progresif di peringkat global.
“Itulah sebabnya kita telah bergerak untuk memastikan ASEAN kekal kukuh dan berdaya tahan, dengan mempertingkat hubungan ekonomi menerusi perdagangan dan pelaburan dalam kalangan negara anggota, selain usaha serantau dalam bidang tenaga dan keterhubungan yang menjadi teras agenda ekonomi kita,” katanya.
Datuk Seri Anwar turut menegaskan bahawa masih banyak yang perlu dilakukan dan isu integrasi ekonomi, pelaburan rentas sempadan serta pembangunan infrastruktur tenaga dan jaringan serantau, akan menjadi antara topik perbincangan utama pada sidang tersebut.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari ASEAN Ke-58 di Cyberjaya yang dihadiri hampir 700 wakil komuniti ASEAN.
Mengulas sambutan itu, Perdana Menteri menyifatkannya sebagai penghargaan bersama atas pencapaian ASEAN sejak penubuhannya, selain membuktikan tekad rantau ini untuk terus maju secara kolektif.