fb fb fb fb fb

Kebakaran Pantai Dalam: Penduduk terjejas diberi penempatan sementara

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Ogos - Seramai 66 orang daripada 17 keluarga terkesan dalam kejadian kebakaran yang berlaku malam tadi di Pantai Dalam.

Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil berkata kesemua penduduk terjejas akan diberi penempatan sementara di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) berdekatan kawasan sekitar.

"Tempoh masa untuk memproses pemindahan sementara ini memerlukan masa dua ke tiga hari, saya jangka paling lewat pertengahan minggu depan. Saya berharap seawal Isnin.

"Selepas ini, saya cuba bercakap (berhubung) dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif untuk mempermudahkan proses itu," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas membuat tinjauan ke lokasi kejadian serta melawat penduduk terjejas di pusat pemindahan sementara (PPS).

Selain bantuan kewangan dan kecemasan kepada penduduk, Datuk Fahmi berkata pihaknya akan mengadakan dua pertemuan dengan penduduk terjejas dan pemilik premis perniagaan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membincangkan bantuan lain yang akan disalurkan.

"Pertemuan pertama dengan keluarga terkesan. DBKL akan meneliti data yang dikumpulkan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) sekali dengan laporan polis yang dibuat oleh 17 keluarga ini dan kita akan teliti apa lagi bentuk bantuan selain daripada kewangan dan kecemasan.

"Untuk kedai premis perniagaan yang terkesan saya akan adakan pertemuan dengan pihak DBKL bersama tuan tanah dan pengusaha kedai dan pihak lain terlibat untuk kita teliti apakah langkah berikutnya," jelas beliau lagi.

Tambahnya, kesemua penduduk terjejas ketika ini ditempatkan di PPS di Sekolah Rendah Agama Al-Khawarizmi.

"17 keluarga telah dipindahkan ke PPS yang ditempatkan di Sekolah Rendah Agama Al-Khawarizmi, secara keseluruhan terdapat 14 unit rumah yang terbakar.

"Selain itu, empat ke lima kedai turut terkesan termasuk salah satunya Mydin Mart, kedai nasi kandar, kedai baju, bengkel, kedai perabot dan lain-lain," katanya.

Katanya, berdasarkan laporan pihak bomba, kesemua struktur rumah dan premis perniagaan musnah sepenuhnya menyebabkan ia berkemungkinan besar perlu dirobohkan dan dibangunkan semula.

BERITA BERKAITAN: 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM