fb fb fb fb fb

YDP Agong lawat pusat teknologi automotif Rusia

Sultan Ibrahim berkenan menerima taklimat khas mengenai pencapaian terkini Pusat Pembangunan Teknologi Automotif Rusia, di Moscow. - Foto FB SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR

MOSCOW, 8 Ogos – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat melawat melawat Pusat Pembangunan Teknologi Automotif Rusia (NAMI) di Moscow, sebagai sebahagian daripada lawatan negara di Rusia.

Ketibaan Seri Paduka Baginda disambut Ketua Pengarah NAMI, Fedor Nazarov.

Turut hadir, Timbalan Menteri Industri dan Perdagangan Rusia, Albert Anvarovich Karimov.

Mengiringi Seri Paduka Baginda, Menteri Pertahanan merangkap Menteri Pengiring, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohd Zin.

Sepanjang lawatan itu, Sultan Ibrahim berkenan menerima taklimat khas mengenai pencapaian terkini teknologi automotif yang dibangunkan oleh pusat tersebut.

Seri Paduka Baginda juga berkenan melawat ruang pameran memaparkan pelbagai model kenderaan jenama Aurus, simbol kejuruteraan automotif buatan Rusia.

Menariknya, Seri Paduka Baginda turut meluangkan masa memandu uji model Aurus Senat, diiringi Ketua Pengarah NAMI sebagai pemandu bersama.

NAMI merupakan institusi penyelidikan dan kejuruteraan terkemuka Rusia yang memiliki lebih 100 tahun kepakaran dalam pembangunan pelbagai jenis kenderaan, termasuk kereta penumpang mewah, jentera pertanian dan komponen automotif inovatif.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN