fb fb fb fb fb

Konvoi KMJG 2025 santuni masyarakat Orang Asli

Konvoi KMJG 2025 peringkat Kedah berlangsung meriah dan diteruskan dengan penyerahan Jalur Gemilang kepada KMJG Perak, hari ini.

ALOR SETAR, 8 Ogos - Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 peringkat negeri Kedah berlangsung meriah sebelum simbolik penyerahan Jalur Gemilang dilakukan kepada KMJG Perak, hari ini.

Pengarah Jabatan Penerangan Kedah, Nurazila Azizan berkata, pelbagai acara dianjur sepanjang KMJG 2025 di negeri itu.

Ia termasuk menyantuni masyarakat Orang Asli di Lubuk Legong, Baling sebagai tanda perpaduan dan kebersamaan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dalam menyemarakkan semangat patriotik.

“Alhamdulillah, sambutan masyarakat sangat menggalakkan.

"Sepanjang perjalanan, konvoi disambut oleh murid sekolah rendah dan pra sekolah, menunjukkan semangat cintakan negara sudah disemai sejak kecil lagi,” katanya kepada media selepas program KMJG 2025 di SMK Dato Syed Omar, di sini.

Sepanjang jelajah di Kedah, konvoi singgah di beberapa lokasi pelancongan dan mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat yang turut mengibarkan Jalur Gemilang.

Program turut dimeriahkan dengan nyanyian lagu-lagu patriotik, deklamasi puisi kenegaraan, persembahan muzik dan tarian tradisional di setiap lokasi persinggahan.##

KHAIRUL AMRI BIN YASIN