KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Beberapa lot kedai dan rumah musnah dalam satu kebakaran di kawasan Pantai Dalam di sini malam tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 11.11 malam.
“Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Dalam dengan bantuan pasukan dari BBP Hang Tuah dan BBP Hartamas telah digerakkan ke lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.
Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan usaha pemadaman masih giat dijalankan bagi mengawal api daripada terus merebak ke bangunan berhampiran.
Tinjauan RTM di lokasi kejadian pada pukul 12.55 tengah malam mendapati anggota bomba masih bertungkus-lumus mengawal kebakaran dan memastikan keselamatan kawasan sekitar.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.