CYBERJAYA, 8 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja sebagai yang pertama berjaya dicapai dalam tempoh singkat dan dilaksanakan secara berkesan.
Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil sokongan penuh dan solidariti para pemimpin ASEAN yang bersatu dalam usaha meredakan ketegangan di kawasan sempadan kedua-dua negara berkenaan.
"Ia berjaya dicapai kerana adanya tahap kepercayaan dan keyakinan yang tinggi dalam kalangan kita. Saya dimaklumkan bahawa dalam sejarah dunia, gencatan senjata seperti ini yang dicapai dengan cepat dan berkesan amat jarang berlaku.
"Jika bukan yang pertama dalam beberapa dekad, mungkin juga dalam beberapa abad. Ini semua terhasil daripada sokongan semua pihak," katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Sambutan Hari ASEAN ke-58 di sini, hari ini.
Tambah beliau, gencatan senjata itu adalah hasil usaha pelbagai lapisan, melibatkan bukan sahaja Perdana Menteri dan Menteri Luar, tetapi juga kerjasama erat antara angkatan tentera serta pasukan keselamatan Thailand dan Kemboja.
Menurutnya, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen, kepercayaan, persahabatan dan semangat persaudaraan yang tinggi dalam kalangan pemimpin ASEAN.
"Saya percaya ini merupakan satu pencapaian luar biasa yang belum pernah berlaku sebelum ini. Ia jelas menunjukkan kekuatan, komitmen dan iltizam para pemimpin ASEAN," katanya lagi.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar mengumumkan bahawa Thailand dan Kemboja telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa sebarang syarat.