KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Malaysia menawarkan pakej menyeluruh berasaskan kerjasama awam-swasta bagi mengimbangi defisit perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif itu dilaksana tanpa sebarang perbelanjaan atau komitmen fiskal kerajaan.
Jelas beliau, pakej berkenaan melibatkan komitmen pelaburan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bernilai AS$150 bilion dalam sektor semikonduktor, aeroangkasa dan pusat data di AS bagi tempoh lima hingga 10 tahun.
“Rundingan tarif baru-baru ini turut menyaksikan pelbagai pembelian komersial termasuk pembaharuan armada jangka panjang seperti pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG).
Semua komitmen pembelian dan pelaburan ini merupakan urusan komersial syarikat dan GLC Malaysia. Tiada sebarang dana awam digunakan dan ia tidak menambah beban fiskal atau hutang negara,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat.
Datuk Seri Tengku Zafrul menjelaskan, selain komitmen pelaburan, Malaysia turut menawarkan langkah bukan tarif seperti pemudahcaraan peraturan halal, pematuhan hak harta intelek, standard buruh dan alam sekitar.