PUTRAJAYA, 16 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia memberi sumbangan ihsan kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock.
Jumlah sumbangan itu akan ditentukan bagi tujuan kebajikan dan perbelanjaan pendidikan anak mendiang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, langkah itu sebagai tanda keprihatinan terhadap penderitaan keluarga mendiang selain komited memperkukuh integriti dan penambahbaikan institusi.
“Atas dasar keprihatinan, saya selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM, ingin menzahirkan perasaan simpati kepada keluarga mendiang atas penderitaan yang telah ditanggung sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan sempena memperingati 16 tahun pemergian Teoh, hari ini.
Beliau berkata, walaupun siasatan terkini yang diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara tidak menemui bukti mencukupi untuk mendakwa mana-mana individu, SPRM tetap memandang serius insiden kematian Teoh di premis SPRM Selangor pada 16 Julai lalu.
"Ia merupakan satu insiden hitam yang telah memberi kesan besar bukan sahaja kepada waris mendiang tetapi juga kepada seluruh warga SPRM dan negara," katanya.
Azam berkata, sejak kejadian itu, SPRM melaksanakan pelbagai langkah penambahbaikan termasuk mewujudkan Bilik Rakaman Bervideo (VIR) untuk merekod pernyataan saksi, orang kena tangkap atau suspek dan pemantauan lebih telus di Bilik Temu Bual Saksi di aras bawah.
Katanya, SPRM juga memasang kamera litar bertutup (CCTV) berteknologi tinggi dan jeriji besi di kompleks SPRM selain menggunakan Body Worn Camera (BWC) dalam setiap operasi siasatan.
"Ini bagi mengawas dan merekod pergerakan serta perlakuan setiap orang yang memasuki premis SPRM.
"SPRM juga mengadaptasi teknik soal siasat MACC PEACE (Planning, Engage, Account, Closure, Evaluation) berasaskan model United Kingdom, yang menekankan keberhasilan dan keselamatan saksi," katanya.
Tambah beliau, pada 12 Mei 2015, kerajaan telah membayar pampasan RM600,000 kepada keluarga mendiang dan tambahan RM60,000 bagi kos guaman sebagai penyelesaian penuh di bawah Seksyen 7 dan 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956.
“SPRM kekal komited menegakkan integriti dan ketelusan dalam setiap aspek tugasan serta memperkukuh usaha penambahbaikan institusi secara berterusan,” katanya.