PUTRAJAYA, 16 Julai - Sebanyak 5,610.55 tan metrik ikan yu telah direkodkan mendarat di perairan Malaysia sepanjang 2024, berdasarkan statistik semasa Jabatan Perikanan (DOF).
Ketua Pengarah DOF Datuk Adnan Hussain berkata Sarawak mencatat jumlah pendaratan tertinggi iaitu sebanyak 2,208.90 tan metrik, diikuti Perak (994.04 tan metrik), Kelantan (783.99 tan metrik), Sabah (545.77 tan metrik), Pahang (471.35 tan metrik) dan Selangor (204.11 tan metrik).
Dalam kenyataannya hari ini, Adnan memaklumkan statistik berkenaan menunjukkan keperluan untuk memperkukuh pemantauan dan pengurusan sumber perikanan secara bersepadu, khususnya bagi memastikan kelangsungan spesies marin yang semakin terancam.
“Sebagai langkah pengurusan sumber secara mampan, lima spesies ikan yu telah diwartakan sebagai spesies yang dilindungi di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Terancam) 1999 [Pindaan 2019].
“Sebarang aktiviti penangkapan, pemilikan, penjualan atau pengeksportan spesies ini adalah dilarang dan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Spesies yang disenaraikan ialah Sphyrna mokarran (Yu Tukul Parang), Sphyrna zygaena (Yu Tukul Rata), Eusphyra blochii (Yu Tukul Parang – varian), Carcharhinus longimanus (Yu Sirip Putih Besar) dan Rhincodon typus (Yu Paus).
Menurut Adnan, kesemua spesies berkenaan memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem marin kerana sifatnya sebagai pemangsa puncak dalam rantaian ekologi.
Kehilangan spesies itu bukan sahaja mengganggu kestabilan biodiversiti tetapi juga boleh memberi kesan langsung kepada kesejahteraan sumber perikanan negara.
Justeru, beliau menyeru semua pihak termasuk nelayan, peneraju industri, pertubuhan bukan kerajaan serta orang awam agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan dan menyokong usaha pemuliharaan yang sedang dijalankan oleh kerajaan.
“DOF terus memperkukuh inisiatif pemuliharaan ini melalui pelaksanaan pemantauan berterusan, penguatkuasaan undang-undang, serta kempen kesedaran awam, dengan kerjasama strategik agensi penguat kuasa, NGO serta komuniti nelayan. Segala usaha ini bertujuan memastikan sumber marin negara terus kekal lestari untuk generasi masa hadapan,” katanya. -BERNAMA