fb fb fb fb fb

Utamakan peradaban dalam setiap langkah kemajuan, inovasi

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah (empat,kiri) berkenan berangkat pada Festival Idea Putrajaya 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)/BERNAMA

PUTRAJAYA, 6 November - Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menegaskan bahawa adab harus menjadi panduan utama dalam setiap langkah kemajuan dan inovasi yang dikecapi oleh manusia.

Baginda bertitah kemajuan tanpa adab boleh menjejaskan keadilan dan kebenaran sekaligus mengugat nilai kemanusiaan.

“Apa jua kemajuan yang dicapai, mesti dipandu oleh adab,” titah baginda dalam majlis bersempena Festival Ideas Of Putrajaya 2025 (FOI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Raja Permaisuri Agong menjelaskan bahawa adab bukan sekadar sopan santun, tetapi suatu disiplin bagi menegakkan keadilan dan menghindari penindasan.

Dalam masa sama, Baginda turut mengaitkan kepentingan adab dengan penggunaan teknologi moden, termasuk kecerdasan buatan (AI) serta media sosial.

Menurut Seri Paduka Baginda setiap perkataan yang dizahirkan mencerminkan jiwa seseorang dan mampu memberi kesan besar terhadap masyarakat.

Baginda turut menekankan bahawa dalam penyelidikan dan inovasi, adab menuntut ketelusan, akauntabiliti dan kesedaran terhadap golongan yang kurang mendapat perhatian.

“Ilmu bukan sekadar kekuatan, tetapi satu amanah yang perlu digunakan untuk kebaikan ramai,” titah Baginda lagi.

Festival tahunan itu berperanan sebagai platform perkongsian idea dan wacana ilmiah dalam membentuk inovasi berteraskan nilai kemanusiaan, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk mengimbangi kecemerlangan ilmu dengan tanggungjawab sosial.

Pada majlis itu, Baginda berkenan mengikuti syarahan perdana oleh Prof. Dr. Hisham A. Hellyer dari Royal United Services Institute for Defence, United Kingdom dan Profesor Madya Dr. Khairudin Aljunied dari National University of Singapore, yang mengupas topik “Adab as Moral Compass: From Principle to Practice in Our Troubled World” serta “The Future of Muslim Scholar-Activism in Southeast Asia.”

Kedua-dua pembentangan menyorot peranan pendidikan Islam dan nilai moral dalam membentuk hala tuju cendekiawan masa depan di rantau ini.

Festival anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi itu berlangsung dari 4 sehingga 8 November, dengan jangkaan lebih 500,000 pengunjung fizikal dan 2 juta peserta maya dari seluruh dunia.

Bertemakan “MADANI: Melakar Masa Depan, Merealisasikan Idea,” FOI Putrajaya 2025 berperanan sebagai wadah utama perkongsian idea, pemikiran dan inovasi berasaskan nilai sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk membina kemajuan yang berteraskan ilmu, tanggungjawab dan adab.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ