fb fb fb fb fb

OSA 1972: Lindung dokumen rasmi kerajaan, jaga keselamatan negara

Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 16 Julai - Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan negara dengan melindungi dokumen rasmi kerajaan yang mengandungi maklumat sulit, rahsia dan rahsia besar.

Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata, akta ini diwujudkan bagi mencegah dokumen berkaitan pentadbiran negara tidak disalah guna atau terdedah kepada ancaman luar seperti kegiatan intipan, sabotaj atau penyebaran maklumat tanpa kawalan.

"Tujuan utama akta tersebut adalah untuk menjamin keselamatan negara, apabila dokumen rasmi dilindungi dengan selamat, maka kedaulatan negara dapat dipertahan. Secara asasnya, kepentingan Akta Rahsia Rasmi 1972 terletak kepada peranannya dalam menjaga keselamatan dan menjamin kedaulatan negara," katanya kepada RTM selepas bersiaran langsung dalam program Selamat Pagi Malaysia, TV1 di Angkasapuri Kota Media.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas berkaitan isu kebocoran maklumat kerajaan yang tular di media sosial baru-baru ini.

Shamrahayu menyifatkan perkara tersebut berlaku akibat kegagalan segelintir anggota perkhidmatan awam menunaikan tanggungjawab dengan amanah.

"Saya merumuskan bahawa isu ini berpunca daripada kurangnya amanah dalam kalangan penjawat awam yang mempunyai akses dan kawalan terhadap dokumen-dokumen berkenaan.

Saya tidak menyalahkan mana-mana kategori secara khusus namun kita sedar dokumen kerajaan sememangnya berada di bawah tanggungjawab perkhidmatan awam tanpa mengira kategori. Oleh itu, apa yang paling mustahak adalah memastikan kepentingan negara menjadi keutamaan," jelasnya.

Tambah beliau, Akta Rahsia Rasmi memperuntukkan tindakan undang-undang, bukan sahaja terhadap individu yang membocorkan maklumat, malah terhadap pihak yang menerima dan menyebarkannya.

Justeru katanya, sistem perkhidmatan awam yang kukuh dan berintegriti mampu mengatasi isu yang berlaku.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE