PUTRAJAYA, 16 Julai - Indeks Keselamatan Sempadan Negara (IKSN) telah dibangunkan sebagai platform digital bersepadu bagi menilai tahap keselamatan di kawasan sempadan negara berdasarkan data yang dikumpul daripada 31 agensi terlibat," kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, indeks ini menilai 12 perkara berkaitan jenayah rentas sempadan termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI), pemerdagangan manusia, penyeludupan narkotik, penyeludupan barangan, penyeludupan senjata api, pemerdangan dan penyeludupan haiwan liar, pembalakan haram, keganasan, jenayah siber, penculikan untuk wang tebusan dan rompakan di laut, perikanan tidak sah dan kawalan biosekuriti.
"Agensi terlibat akan memasukkan data berdasarkan pemberat dan indikator yang telah ditetapkan. Proses ini dilakukan dua kali setahun melibatkan 31 agensi berkaitan keselamatan sempadan dengan jumlah keseluruhan 54 indikator.
Data ini memberi gambaran menyeluruh tentang 12 aspek utama keselamatan sempadan seperti pemerdagangan orang, penyeludupan senjata, dadah, pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan barangan terlarang, aktiviti penangkapan ikan secara haram dan lain-lain.
Daripada maklumat yang dikumpul, kita dapat menghasilkan satu bacaan indeks keselamatan sempadan. Skor indeks yang paling selamat ialah antara 0 hingga 1, manakala skor yang paling tidak selamat berada dalam julat 4.1 hingga 5."
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Bulan Julai 2025 di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Saifuddin turut memaklumkan, tiga isu paling terkawal berdasarkan skor terbaik ialah penculikan untuk wang tebusan dan rompakan di laut, masing-masing mencatatkan skor 0.00.
Sementara itu, penyeludupan senjata api mencatatkan skor 0.22 dan jenayah siber mencatatkan skor 0.47.
Beliau optimis pembangunan platform digital hasil kerjasama antara Institut Keselamtan Awam Malaysia (IPSOM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu, mampu meningkatkan tahap keselamatan di sempadan negara dan memelihara kedaulatan negara.