PUTRAJAYA, 10 Oktober- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memperoleh perintah menghalang transaksi melibatkan wang berjumlah AS$115,320,661.63 atau kira-kira RM486.4 juta yang disimpan dalam tiga akaun perbankan di Switzerland atas nama Putera Arab Saudi, Putera Turki Abdullah bin Abdul Aziz Al Saud yang dikaitkan dengan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam kenyataannya, SPRM memberitahu perintah itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah 1 Kuala Lumpur, Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor.
Ia dibuat di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) pada pendengaran kes pada 9 Oktober 2025 susulan permohonan difailkan SPRM pada 7 Oktober lalu.
"Permohonan ini berdasarkan maklumat diterima SPRM pada 2011, bahawa Putera Turki Abdullah Al-Saud telah menerima, memindah dan menggunakan hasil daripada penyelewengan dana 1MDB melalui akaun-akaun perbankan miliknya," menurut kenyataan hari ini.
SPRM memberitahu ia berjaya menghalang transaksi membabitkan AS$87,148,732.89 dan AS$12,777,759.74 dalam dua akaun bank di J.P. Morgan, selain AS$15,394,169 dalam akaun bank UBS Switzerland.