fb fb fb fb fb

Pindaan Akta 822 beri kuasa penuh NFCC selaras pengurusan aset sitaan

Timbalan Ketua Pengarah NFCC, Ahmad Sazilee Abdul Khairi/FOTO BERNAMA

PARIT, 10 Oktober – Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) kini dalam proses meminda Akta 822 bagi memperkukuh peranannya sebagai agensi peneraju dalam pengurusan aset sitaan negara.

Timbalan Ketua Pengarah NFCC, Ahmad Sazilee Abdul Khairi, berkata pindaan berkenaan dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan bagi memberi kuasa penuh kepada NFCC menyelaras semua urusan berkaitan aset sitaan kerajaan.

Beliau menjelaskan, langkah itu penting bagi mewujudkan sistem pengurusan aset sitaan yang lebih tersusun dan efisien, berbanding amalan sedia ada yang dikendalikan secara berasingan oleh pelbagai agensi penguat kuasa.

“Banyak aset sitaan terbiar sehingga merugikan kerajaan. Contohnya, sebuah kenderaan yang disita boleh mendatangkan hasil jika diurus dengan baik. Namun tanpa pengurusan yang teratur, ia akhirnya dijual sebagai besi buruk dan bukan sebagai kenderaan yang boleh digunakan semula. NFCC berusaha memaksimumkan hasil kerajaan daripada aset-aset ini,” katanya.

Menurut Ahmad Sazilee, beberapa projek rintis juga telah dilaksanakan selepas NFCC menerima mandat daripada Perdana Menteri sebagai persediaan awal sebelum pindaan akta tersebut diluluskan.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah, Parit.

Sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kawasan berkenaan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD