fb fb fb fb fb

Perpatih Fest catat rekod festival adat paling lama di Malaysia

FOTO RTM

SEREMBAN, 10 Oktober – Festival Adat Pepatih atau Perpatih Fest mencipta sejarah tersendiri apabila diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai “Penganjuran Festival Adat Pepatih Paling Lama di Malaysia”, sempena sambutan ulang tahun ke-25 penganjurannya tahun ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata festival ini berperanan penting dalam memberi kesedaran kepada masyarakat, khususnya golongan muda, mengenai kepentingan Adat Perpatih sebagai warisan budaya yang perlu terus dipelihara.

“Saya menaruh harapan tinggi kepada Lembaga Muzium Negeri Sembilan sebagai agensi yang diamanahkan kerajaan negeri untuk menjaga warisan sejarah dan budaya. Bersama-sama luak-luak beradat, kita mahu memperkasakan Adat Perpatih agar manfaatnya dapat dirasai seluruh masyarakat negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perpatih Fest 2025 yang berlangsung di Perkarangan Muzium Negeri, di sini.

Menurutnya, lebih 20,000 pengunjung dijangka memeriahkan festival selama tiga hari yang berlangsung mulai hari ini hingga 12 Oktober.

Selain pameran adat, festival turut menampilkan 13 reruai jabatan kerajaan serta 15 khemah produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sebelum ini, Perpatih Fest pernah mencatat tiga rekod MBOR termasuk pemakaian telepok paling ramai, masakan kari kepala kambing terbanyak, dan perarakan panta berkucung terbanyak.

Dengan tema “Adat Dihayati, Warisan Dilestari”, festival berkenaan diharap dapat memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap adat yang menjadi tunjang warisan budaya Negeri Sembilan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD