fb fb fb fb fb

Sembilan aktivis Malaysia ke Istanbul dalam pengesahan Wisma Putra

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar

SERDANG, 10 Oktober- Satu penerbangan dari Israel dijangka mendarat di Istanbul petang ini, dipercayai membawa aktivis Freedom Flotilla Coalition (FFC) termasuk sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar bagaimanapun sedang mendapatkan pengesahan daripada Wisma Putra.

Jelasnya, memetik sumber Kementerian Luar Türkiye, satu penerbangan dari Israel dijangka mendarat di Istanbul sekitar pukul 3.00 petang waktu tempatan.

Pesawat tersebut dilaporkan membawa sekumpulan aktivis FFC dari 22 buah negara, juga mungkin termasuk sembilan aktivis Malaysia serta enam aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) terdiri daripada tiga warga Norway, dua warga Maghribi dan seorang warga Sepanyol.

“Kita akan berikan sepenuhnya sokongan dan kerjasama bersama wakil kita di sana serta Wisma Putra dalam usaha menguruskan keadaan sekiranya mereka terlibat dalam penerbangan tersebut.

Pengesahan akan dibuat dalam masa terdekat, insya-Allah," kata Kamarul Zaman kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas, di sini.

Tambahnya, kesemua aktivis dilapor berada dalam kesihatan yang baik.

Sembilan delegasi Malaysia yang terbabit dalam misi tersebut ialah Ketua Misi, Profesor Emeritus Dr. Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr. Fauziah Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman, Dr. Ili Syakira Mohd Suhaimi, wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil, dua pensyarah iaitu Profesor Dr. Mohd Afandi Salleh dan Dr. Noorhasyimah Ismail, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar serta Dr Maziah Muhammad.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM