KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Radio Televisyen Malaysia (RTM) mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya memperkenalkan hos maya berasaskan kecerdasan buatan atau AI Avatar dalam penerbitan khas Belanjawan 2026.
Penerbit Grandstand Bahasa Melayu, Laurendra Fiona Benard berkata langkah itu menandakan era baharu penerbitan digital yang seiring dengan revolusi teknologi global.
“Konsep program Belanjawan 2026 kali ini meneruskan usaha kami mengangkat kecerdasan buatan sebagai teras utama penerbitan.
Antara pembaharuan yang diperkenalkan ialah pakej ekonomi berasaskan AI-CGI, di mana skrip disediakan oleh pasukan penerbitan manakala visual dan grafik dijana sepenuhnya menggunakan teknologi AI," kata Fiona kepada pemberita selepas siaran langsung Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media, hari ini.
Jelas Fiona, program kali ini turut memperkenalkan segmen interaktif menampilkan hos maya futuristik, Rizal Avatar, yang akan berinteraksi secara langsung serta menjawab persoalan berkaitan belanjawan dengan pendekatan lebih segar dan mudah difahami penonton.
“Rizal Avatar membantu kita memahami bagaimana teknologi ini digunakan dalam penerbitan. Ini juga membuktikan bahawa kita boleh bergerak seiring teknologi tanpa menolak sentuhan manusia dalam karya penyiaran.” jelasnya
Tambahnya, inovasi tersebut adalah hasil kerjasama erat antara pasukan penerbitan dan teknikal RTM, satu langkah berani dalam memperkasa peranan penyiar awam melalui teknologi baharu.
Sementara itu, Penerbit Grandstand Bahasa Inggeris, Munieshaa a/p Parameswaran, dengan kelebihan visual dan interaktiviti baharu, Munieshaa akui pelaksanaannya memerlukan masa dan ketelitian tinggi dalam proses rekaan serta penyelarasan teknikal.
“Grandstand Bahasa Inggeris akan bersiaran di TV2 dan saluran berita RTM, menampilkan dua pengacara serta satu avatar digital, bersama dua tetamu pakar ekonomi. Kami mahu tunjuk kepada dunia bahawa RTM juga mampu menggunakan teknologi AI dalam penerbitan," jelas Munieshaa.
Dalam pada itu, nada sama turut disuarakan Penerbit Parlimen, Mohd Faiz Shauqi Md Roziki, dalam memastikan kelancaran produksi semasa Pembentangan Belanjawan 2026.
“Dari lokasi Parlimen, kami memastikan penyediaan siaran langsung berjalan lancar bermula ketibaan Perdana Menteri hingga ke pembentangan belanjawan. Semua rakaman kemudian dihantar terus ke rangkaian siaran utama RTM,” jelas Mohd Faiz.
Pendekatan baharu itu bukan sahaja memperkukuh kedudukan RTM sebagai penyiar nasional, tetapi turut membuktikan komitmen untuk terus relevan dan berinovasi dalam mendepani masa depan penyiaran digital negara.