fb fb fb fb fb

278,000 murid Sabah nikmati bantuan persekolahan

FOTO FACEBOOK SANDAKANfm

PAITAN, 10 Oktober - Kira-kira 278,000 murid sekolah rendah di Sabah menerima bantuan pakaian seragam dan kasut sekolah yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri Sabah sebagai inisiatif membantu keluarga berpendapatan rendah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib, berkata kerajaan negeri komited untuk terus menyalurkan bantuan kepada rakyat tanpa mengira latar belakang dan ideologi politik.

“Bantuan ini telah kita komited sebelum pembubaran (DUN) lagi. Segala bantuan untuk rakyat akan terus dilaksanakan.

"Kita tidak akan berhenti dan akan sentiasa membantu rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Pakaian Seragam, Kasut dan Alat Tulis Sekolah Rendah Negeri Sabah di Paitan.

Di daerah Paitan sahaja, seramai 2,339 murid dari 38 sekolah rendah menerima manfaat daripada bantuan berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Beluran, Dr. Nancy Ng Yut Kuan, berkata inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri Sabah amat penting terutama bagi murid di kawasan luar bandar.

“Bantuan daripada kementerian atau jabatan amat kami harapkan bagi anak-anak di pedalaman. Pakaian seragam, kasut dan alat tulis merupakan keperluan asas dalam pembelajaran mereka,” ujarnya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, Guru Besar SK Pinangkau, Johmen Masandu, turut merakamkan penghargaan atas bantuan yang diberikan.

“Bantuan ini amat bermakna, terutama kepada murid di kawasan pedalaman. Kebanyakan ibu bapa adalah golongan miskin dan miskin tegar. Inilah bantuan yang mereka nantikan setiap tahun,” katanya.

Bagi pelajar Ester Arisa Sari Jimlin, bantuan itu memberi semangat dan motivasi kepadanya untuk terus menimba ilmu.

“Saya sangat gembira menerima bantuan ini kerana dapat meringankan beban ibu bapa saya dan membuatkan saya lebih bersemangat ke sekolah,” katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD