KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Universiti Malaya Halal Research Centre (UMHRC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat makanan terkemuka China, Shandong Huifa Foodstuff Co. Ltd., bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan industri halal global.
Majlis menandatangani MoU itu diadakan di Universiti Malaya dan disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ir. Dr. Kaharudin Dimyati, serta Pengerusi Halword dan Penasihat Syariah Shandong Huifa, Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa.
Kerjasama ini meliputi latihan profesional, pembangunan kurikulum dan pengukuhan pendidikan halal di institusi pengajian tinggi di beberapa wilayah China.
Pengarah UMHRC, Prof. Madya Dr. Zalina Zakaria berkata, perjanjian itu membuktikan keyakinan China terhadap kepakaran Malaysia dalam sistem jaminan halal.
"Shandong Huifa bukan sahaja syarikat tersenarai, tetapi juga antara pemain utama industri makanan global. Hubungan ini bukan sekadar akademik, tetapi strategik bagi membina keupayaan halal yang diiktiraf dunia," katanya.
Shandong Huifa yang beroperasi di kawasan lebih 400,000 meter persegi di Shandong merupakan antara gergasi industri makanan berteknologi tinggi di China.
UMHRC pula diiktiraf sebagai penyedia latihan halal bertauliah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan menjadi rakan strategik Malaysia International Halal Academy (MIHA).
Selain itu, pusat berkenaan turut memainkan peranan utama sebagai perunding dalam pembangunan Dasar Halal Negara 2035 yang diterajui oleh JAKIM.
Dr. Zalina menegaskan, MoU ini menjadi langkah penting ke arah memperkukuh diplomasi halal antara Malaysia dan China melalui inisiatif Laluan Sutera Halal.