KUALA LUMPUR, 2 Julai- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan berhubung dakwaan wujudnya amalan rasuah dan penyelewengan berhubung tender pembinaan MyKiosk bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus dalam satu kenyataan memaklumkan, suruhanjaya itu telah menjalankan siasatan awal setelah menerima aduan daripada sebuah parti politik.
"Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) juga telah memulakan proses penyiasatan secara serentak.
"Selain KPKT yang telah mengemukakan laporan penuh berhubung proses dan pemberian tender yang berkaitan, beberapa pihak yang terlibat turut memberi beberapa dokumen berkaitan projek itu," menurut kenyataan itu.
Dalam siasatan tersebut SPRM akan memberi tumpuan kepada dua perkara iaitu pengesanan sekiranya wujud amalan rasuah dan penyelewengan dalam proses tender.
"Tindakan penyiasatan dibuat berasaskan kesalahan bawah Akta SPRM 2009," tambah kenyataan itu.
Pada Mei lepas, KPKT menyerahkan dokumen berkaitan Projek MyKiosk kepada SPRM sebagai komitmen kementerian itu dalam memastikan ketelusan serta integriti projek berkenaan.
Menurut KPKT, semua perolehan serta pelantikan kontraktor MyKiosk telah dilaksanakan 133 pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui sebut harga terbuka.