fb fb fb fb fb

AI Summer Camp TVET Se-Malaysia 2025, tingkat kemahiran teknologi

Aktiviti pada AI Summer Camp TVET Se-Malaysia 2025 di di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Pauh

ARAU, 2 Julai- AI Summer Camp TVET Se-Malaysia 2025 dilihat sebagai platform peningkatan kemahiran dalam bidang kecerdasan buatan (AI) kepada pelajar-pelajar politeknik dan institusi kemahiran seluruh Malaysia.

Pengarah Eksekutif Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE), Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin dalam satu kenyataan memaklumkan, ia dimulakan secara rasmi di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Pauh selama empat hari hingga 4 Julai.

Program itu melibatkan seramai 160 peserta mewakili politeknik dan institusi kemahiran dari negeri Perlis, Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

"Ia bertujuan menyediakan pelajar dengan kemahiran teknologi semasa agar lebih bersedia menghadapi pasaran kerja berteknologi tinggi.

''Setiap peserta akan mengikuti modul intensif meliputi modul seperti chatbot, automasi robotik, realiti maya (VR) dan analitik ramalan, selain aktiviti pembinaan aplikasi dan hands-on AI," menurut kenyataan itu.

Majlis Pelancaran AI Summer CampTVET Se-Malaysia akan disempurnakan secara rasmi oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sebagai penaung FCoEE pada 4 Julai ini.

Baginda turut menyokong penuh usaha memperkasa anak negeri Perlis dalam bidang teknologi.

FCoEE komited dalam usaha mendemokrasikan literasi AI kepada kelompok sasar berpotensi tinggi khususnya pelajar TVET, anak-anak asnaf, dan komuniti luar bandar supaya tidak ketinggalan dalam arus Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Program anjuran FCoEE itu mendapat kerjasamas Institut Informatik Visual (IVI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

Sepanjang Julai ini AI Summer Camp akan diteruskan ke Zon Timur iaitu di Politeknik Kota Bharu, Kelantan dan Zon Tengah di Politeknik Bagan Datuk, Perak.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI