fb fb fb fb fb

SPRM lantik tujuh individu sebagai Ahli Panel Perundingan & Pencegahan Rasuah

FOTO SPRM

KUALA LUMPUR, 15 Januari- Tujuh individu dilantik sebagai ahli panel perundingan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh dua tahun.

SPRM menerusi satu kenyataan memaklumkan watikah pelantikan sebagai Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) bagi tempoh dua tahun bermula 1 Disember 2024 sehingga 30 Nov 2026; disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Semua individu berkenaan dilantik secara pentadbiran oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tiga daripada individu terlibat merupakan lantikan semula, manakala empat lagi adalah lantikan baharu dan pelantikan semua individu tersebut berkuat kuasa 1 Disember 2024 hingga 30 November 2026

Individu yang dilantik ialah Datin Yasmin Ahmad Merican sebagai pengerusi, Prof Emerita Datuk Dr Asma Ismail, Profesor Dr. Haidar Dziyauddin, Datuk Lee Heng Cheong dan Prof Dr. Sarjit Singh Darshan Singh.

Turut dilantik sebagai ahli panel ialah Ali Hassan Mohd Hassan dan Kamaruddin Mape.

Kesemua individu yang dilantik ini terdiri daripada golongan profesional serta pakar daripada pelbagai bidang dan ia sebagai satu penghormatan serta pengiktirafan terhadap kebolehan, kepakaran selain integriti yang mereka miliki.

Kepakaran mereka diyakini dapat memberi nilai tambah kepada SPRM dalam membanteras rasuah bagi memastikan keberkesanan operasi dan salah guna kuasa di negara ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE