KUALA LUMPUR, 15 Januari – Kementerian Pertahanan menafikan dakwaan yang tular di media sosial berhubung pemberhentian Panglima Angkatan Tentera (PAT), Panglima Tentera Darat (PTD), Panglima Tentera Laut (PTL), dan Panglima Tentera Udara (PTU) yang dikaitkan dengan kontrak helikopter bernilai RM16 bilion.
Kementerian mengesahkan tiada kaitan antara pemberhentian atau pertukaran panglima-panglima ATM dengan proses pajakan helikopter seperti yang dihebahkan.
"Bagi menangani penyebaran maklumat palsu ini, laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pihak polis. Tindakan sewajarnya sedang diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebarkan berita tidak sahih tersebut.
“Masyarakat dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan berita tular di media sosial kerana ia boleh membentuk persepsi negatif terhadap pertahanan negara dan menggugat keamanan,” menurut kementerian itu menerusi kenyataan.
Kementerian turut menegaskan bahawa penyebaran berita palsu adalah kesalahan undang-undang dan boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.