fb fb fb fb fb

Malaysia komited perkukuh inovasi, keusahawanan

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang / Foto Bernama

CYBERJAYA, 15 Januari – Malaysia bertekad untuk terus memperkukuh inovasi dan keusahawanan dengan menyediakan peluang serta ekosistem yang menyokong syarikat pemula, termasuk memudahkan kolaborasi dan mendorong pengkomersialan penyelesaian inovatif.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata usaha tersebut diterjemahkan melalui inisiatif seperti Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030 dan platform MyStartup.

"Malaysia telah mencapai kemajuan besar dalam menjadikan negara sebagai hab inovasi dan keusahawanan.

"Kepada syarikat pemula, ini adalah peluang anda mempamerkan idea, menarik pelabur, dan menyumbang kepada pembentukan masa depan yang lebih baik untuk Malaysia. Ingatlah bahawa inovasi adalah perjalanan, bukan destinasi," katanya ketika berucap pada Hari Demo Kohort ke-19 Cyberview Living Lab Accelerator (CLLA), di sini.

Program Hari Demo CLLA itu meraikan pencapaian 10 syarikat pemula terbaik daripada Kohort ke-19, yang dipilih daripada hampir 100 pemohon. Mereka telah menjalani program lima bulan merangkumi pembangunan penyelesaian inovatif dalam pelbagai industri.

Menurut Chang, inisiatif seperti itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh ekosistem startup negara, sekali gus memberi peluang kepada syarikat pemula mencipta impak positif terhadap ekonomi dan masyarakat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN