fb fb fb fb fb

SPRM komited lahirkan penguat kuasa berintegriti tinggi

Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertaraf Antarabangsa SPRM-NTU 2025 berlangsung di Bangi, Selangor / Foto RTM

BANGI, 12 Jun - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus komited melahirkan pegawai penguat kuasa berintegriti tinggi dalam usaha memerangi rasuah secara menyeluruh khususnya dalam era digital yang semakin mencabar.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata kolaborasi strategik bersama Nottingham Trent University (NTU) United Kingdom sejak 2017 telah berjaya melahirkan graduan cemerlang yang bukan sahaja berilmu malah turut diterapkan dengan nilai moral, etika dan amanah yang tinggi.

“Latihan ini bukan sekadar akademik. Ia juga menekankan integriti dan prinsip yang menjadi teras dalam perjuangan kita membanteras rasuah,” katanya ketika Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertaraf Antarabangsa SPRM-NTU 2025 di Bangi.

Majlis turut dihadiri Dekan Fakulti Sains Sosial NTU, Prof Daragh McDermott serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.

Seramai 250 graduan berjaya menamatkan pengajian meliputi 74 graduan Tahap 7 dan 176 graduan Tahap 5.

Tan Sri Azam turut mengingatkan graduan agar menjadi pemimpin berprinsip dan ejen perubahan dalam masyarakat.

"Tiada kompromi terhadap pelaku rasuah termasuk dalam kalangan anggota SPRM sendiri.

Jadilah wira yang tidak didendangkan. Bekerjalah dalam diam tetapi berpegang kepada prinsip. Integriti adalah kekayaan sebenar,” ujarnya.

NORAINI BINTI WAHIB