BESERI, 12 Jun- Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Perlis telah mengenal pasti 104 lokasi bagi penempatan tong sampah secara berpusat di seluruh negeri itu.
Inisiatif tersebut dilaksana bagi memudahkan urusan penduduk setempat serta meningkatkan tahap kebersihan dan pengurusan sisa domestik di kawasan masing-masing.
Menurut Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth, projek rintis itu akan mula dilaksanakan dalam masa terdekat sebelum diperluas ke kawasan lain secara berfasa sebagai sebahagian penambahbaikan jangka panjang.
“Tong sampah ini kita sediakan khusus untuk kegunaan penduduk kediaman. Ia bukan untuk kegunaan komersial seperti pejabat, restoran atau premis industri,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, pengusaha premis komersial disaran mendapatkan khidmat nasihat daripada e-Idaman dan SWCorp bagi tujuan penyediaan tong sampah komersial serta perkhidmatan kutipan sisa yang bersesuaian.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Pemerkasaan Pembudayaan Kitar Semula Peringkat Negeri Perlis yang berlangsung di Dewan Seri Melati, Beseri.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Rusdi Yahya.