PUTRAJAYA, 25 Jun – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan, susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada pertuduhan terhadapnya.
Perkara tersebut disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam satu sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini.
“Saya dimaklumkan oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) mengenai keputusan mahkamah hari ini dan rayuan akan dibuat ke Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menjelaskan bahawa tiada sebarang perasaan kecewa terhadap keputusan tersebut, meskipun siasatan telah dijalankan secara teliti oleh pegawai penyiasat SPRM.
SPRM sebelum ini telah menjalankan siasatan terhadap Syed Saddiq berhubung beberapa dakwaan membabitkan salah guna dana sebuah sayap parti politik.