fb fb fb fb fb

Pelan Transformasi Al-Falah perkasa ekonomi, peranan institusi Islam

Dr. Zulkifli Hasan / Foto JAKIM

KUALA LUMPUR, 25 Jun- Pelan Transformasi Al-Falah yang melibatkan penyelarasan sistematik zakat, wakaf, halal, dan pengurusan ibadah haji telah memperkasa ekonomi dan peranan institusi Islam di Malaysia.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pelan strategik nasional bersepadu yang membabitkan 14 agensi agama itu telah meletakkan kerajaan di landasan yang betul sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Sekarang ini, kita mempunyai Pelan Transformasi Al-Falah untuk memperkukuh keseluruhan ekosistem ekonomi Islam, termasuk sektor halal.

"Kita juga sedang merangka Dasar Halal Negara dan berusaha memperkukuh sektor halal yang sangat berkait rapat dengan ekonomi kewangan Islam.

"Kerajaan berada di landasan yang betul; kita sudah mempunyai dasar dan perancangan yang kukuh.

"Ekosistem agensi juga telah lengkap, malah diiktiraf di peringkat antarabangsa menerusi 'Global Islamic Economic Indicator' sebagai yang terbaik di dunia," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Bootcamp Pemimpin Masa Hadapan Kewangan Islam 2025 anjuran Universiti INCEIF di sini.

Tumpuan turut diberikan kepada pemodenan sistem zakat dan wakaf melalui pendekatan digital dan tadbir urus yang lebih cekap dan telus.

Program itu menghimpunkan 50 pelajar tahun akhir dari institusi pengajian tinggi seluruh negara untuk mempelajari teori dan pandangan praktikal.

Ia turut memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran bagi melahirkan generasi pemimpin baharu yang berperanan besar dalam pembangunan industri kewangan Islam pada masa hadapan.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Universiti INCEIF, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azmi Omar.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM