fb fb fb fb fb

Pembelajaran dalam talian dilaksana jika universiti terjejas banjir

Foto RTM

PUTRAJAYA, 3 November - Persiapan awal bagi menghadapi kemungkinan banjir hujung tahun ini telah dibuat, terutamanya melibatkan universiti di negeri-negeri berisiko tinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, langkah peringatan awal dan prosedur menghadapi banjir dilaksanakan setiap tahun, termasuk di negeri-negeri Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

"Kita sentiasa memberikan peringatan dan membuat persiapan, khususnya di negeri yang sering terbabit banjir.

"Pada peringkat universiti, biasanya kita memberi ruang kepada mereka untuk membuat persiapan yang diperlukan," katanya selepas meninjau persiapan penganjuran Festival Idea Putrajaya yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) mulai esok hingga 8 November ini.

Tambah beliau, universiti juga diberikan fleksibiliti untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian sekiranya banjir menjejaskan operasi di kampus.

"Itu antara prosedur kita. Jika berlaku hal seperti itu, pembelajaran secara dalam talian) boleh dilaksanakan. Kita memberi kebenaran itu kepada universiti, mengikut kebijaksanaan serta keperluan masing-masing," katanya.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN