fb fb fb fb fb

Malaysia tegas kekal kedaulatan mineral, fokus pembangunan industri hiliran

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang/RTM

PUTRAJAYA, 3 November – Kepakaran tenaga tempatan serta dasar kerajaan mengekalkan moratorium terhadap eksport bahan mentah mencerminkan komitmen Malaysia untuk membangunkan industri pertengahan dan hiliran, bukan sekadar bergantung kepada aktiviti perlombongan asas.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata keupayaan Malaysia dalam teknologi pemprosesan nadir bumi membolehkan kedaulatan mineral negara terus terpelihara walaupun ketika menjalinkan perjanjian perdagangan dengan kuasa-kuasa besar dunia.

“Saya fikir semua tahu bahawa industri dan ekosistem ini amat penting, terutamanya dalam situasi geopolitik semasa. Sebab itu kita anjurkan program ini bagi mempertemukan semua pihak berkepentingan untuk berbincang mengenai ekosistem dan teknologi di sebaliknya.

"Sudah tentu kita mempunyai kelebihan dari segi bakat tempatan serta simpanan tanah liat penjerapan ion yang besar di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Eksplorasi, Torium dan Nadir Bumi (XThree) 2025, di sini hari ini.

China kini menguasai kira-kira 70 peratus kapasiti pemprosesan nadir bumi dunia, dan Malaysia sedang bekerjasama dengan pelbagai rakan antarabangsa termasuk China bagi memperkukuh keupayaan sendiri.

Menurut Chang, konsep kedaulatan teknologi bermaksud keupayaan Malaysia membina teknologi sendiri tanpa bergantung kepada mana-mana negara tertentu. Justeru, setiap kerjasama antarabangsa perlu melibatkan pemindahan teknologi dan pembangunan bakat tempatan.

Mengulas mengenai memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Amerika Syarikat baru-baru ini, beliau menegaskan perjanjian itu bersifat terbuka dan telus tanpa sebarang sekatan terhadap mana-mana syarikat atau negara.

“MoU itu tidak menjejaskan kedaulatan negara. Pelaksanaannya bergantung kepada kapasiti pengeluaran dalam negara,” tegasnya.

Perjanjian yang dimeterai semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 itu turut memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, meningkatkan akses pasaran, serta memperluas daya tahan rantaian bekalan antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN