fb fb fb fb fb

WCE: 19 pemilik diberi 7 hari untuk kosongkan tanah di Kg Jawa

Foto RTM

SHAH ALAM, 3 November - 19 pemilik tanah di Kampung Jawa, Klang diberi tempoh tujuh hari bermula hari ini untuk mengosongkan tanah masing-masing bagi memberi laluan kepada pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat (WCE).

Exco Perumahan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata keputusan itu dicapai hasil mesyuarat bersama semua agensi berkaitan termasuk Pejabat Tanah dan Daerah Klang, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), pihak konsesi WCE serta wakil pemilik tanah di sini, hari ini.

"Mesyuarat telah memutuskan yang tempoh tujuh hari diberi untuk tindakan pengosongan. Sekiranya terdapat sebarang bantahan, kita telah cadangkan supaya dibawa ke mahkamah untuk diputuskan.

"Kepentingan awam ini perlu diteruskan kerana semua yang dilaksana telah mengikut prosedur ditetapkan. Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor bersetuju menyediakan rumah menerusi Skim SMART Sewa untuk penduduk terlibat," katanya.

Katanya, proses pengambilan tanah telah disempurnakan secara sah mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 dan Borang K telah dikeluarkan pada tahun 2023.

Bagaimanapun, 19 pemilik tanah masih belum mengosongkan tapak walaupun 75 peratus daripada pampasan keseluruhan berjumlah RM9.85 juta telah dibayar.

Baki 25 peratus bayaran akan dilunaskan selepas tapak dikosongkan sepenuhnya.

Pejabat Daerah dan Tanah Klang akan mengeluarkan Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara, memberi tempoh tujuh hari kepada pemilik untuk berpindah.

Sekiranya gagal berbuat demikian, tindakan penguatkuasaan dan perobohan bersepadu akan dijalankan bawah Seksyen 426A(1)(c) Akta 828 selepas tamat tempoh notis.

Syarikat konsesi WCESB dibenarkan memasuki tapak mulai 10 November ini untuk kerja pembersihan dan pembinaan.

Menurut Datuk Borhan, kegagalan pemilik tanah berkenaan mengosongkan kawasan sepanjang 150 meter itu menjadi punca utama projek WCE Seksyen 3 tergendala, meskipun kemajuan keseluruhannya telah melebihi 90 peratus.

Penyelesaian ini membolehkan Projek WCE diteruskan dengan lancar sekali gus memberi manfaat besar kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan terutamanya rakyat Selangor.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN