PUTRAJAYA, 3 November – Festival IDEA Putrajaya 2025 (Putrajaya FOI) yang bakal bermula esok menjanjikan pelbagai pengisian berteraskan ilmu, inovasi dan kreativiti bagi merakyatkan idea serta memperkasa ekosistem pendidikan tinggi negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata festival yang memasuki edisi kedua itu menjadi wadah penting menghimpunkan idea terbaik rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, merangkumi cendekiawan, penyelidik, pelajar universiti dan masyarakat umum.
“Kita mahu menjadikan idea sebagai sebahagian daripada budaya rakyat Malaysia agar setiap orang, tanpa mengira latar belakang, boleh menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau persiapan akhir festival berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Menurutnya, FOI kini diangkat sebagai program berimpak tinggi di peringkat nasional selepas ditubuhkan sebagai jawatankuasa kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir/BERNAMA
“Ini bukan hanya program Kementerian Pendidikan Tinggi semata-mata, tetapi kini menjadi agenda nasional yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi. KPT menjadi urus tiang utama bagi menjayakan pelaksanaannya,” jelas beliau.
Festival berkonsepkan “MADANI: Melakar Masa Depan, Merealisasikan Idea” itu menyasarkan dua juta pengunjung, termasuk 500,000 secara fizikal dan selebihnya secara maya.
Edisi tahun ini turut diperluaskan ke seluruh negara sepanjang Oktober lalu di 13 negeri sebelum kemuncak penganjuran di Putrajaya minggu ini.
Zambry berkata, Malaysia berhasrat menjadi pusat rujukan serantau bagi pertukaran idea dan wacana intelektual, seiring kedudukan negara sebagai hab pemikiran strategik dan inovasi global.
“Kita mahu dunia tahu bahawa Malaysia juga mempunyai Festival of Ideas bertaraf antarabangsa, tempat di mana idea dan masa depan dilakar bersama,” katanya.
Edisi kali ini turut menerima penyertaan Menteri Pendidikan Tinggi Indonesia, Setiausaha Pendidikan Tinggi Filipina, serta Wakil Sekretariat ASEAN, menjadikan FOI sebagai platform antarabangsa rantau ini.
“Kita harapkan pada tahun hadapan, penyertaan akan lebih besar melibatkan negara-negara ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Selatan-Selatan, Afrika dan Asia Tengah,” tambah beliau.
Pelbagai pengisian menarik disediakan menerusi empat komponen utama iaitu Sidang Idea Malaysia, MyIDEAS Connect, Global Higher Education Summit & Showcase dan Advanced TVET & Entrepreneurship.
Majlis pelancaran festival akan disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong pada 6 November, diikuti majlis penutup oleh Perdana Menteri pada 7 November.
Ucaptama pembukaan akan disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, manakala Datuk Seri Fadillah Yusof akan berucap pada hari kedua.
Selain menjadi platform ilmu dan inovasi, festival ini turut memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui penyediaan klinik bergerak, pemeriksaan kesihatan, perkhidmatan agensi kerajaan, serta Jualan Rahmah.
Karnival Kerjaya FOI 2025 pula menawarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan bergaji premium melibatkan 40 majikan, selain Internship Market Week dengan kerjasama TalentCorp dan 30 syarikat.
Penganjuran Festival IDEA oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjadi antara inisiatif utama dalam merakyatkan idea dan pendidikan tinggi, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pemikiran strategik dan inovasi global.