PUTRAJAYA, 3 November – Malaysia menggesa penamatan segera keganasan di Sudan serta mendesak Pasukan Sokongan Pantas (RSF) membuka laluan kemanusiaan bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada penduduk El Fasher dan seluruh wilayah Darfur.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan Malaysia bersama masyarakat antarabangsa turut menyeru agar gencatan senjata dilaksanakan serta-merta bagi menghentikan pertumpahan darah di wilayah berkenaan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan/Foto arkib/BERNAMA
Beliau berkata, Malaysia amat bimbang terhadap kekejaman RSF yang menyebabkan pembunuhan besar-besaran, pemindahan paksa, serta kebuluran serius dalam kalangan penduduk awam.
“Imej satelit menunjukkan bandar El Fasher dilanda keganasan melampau dengan banyak kematian orang awam, sekali gus membuktikan tahap kekejaman konflik yang berlaku di wilayah itu,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Wisma Putra, hari ini.
Mohamad menegaskan bahawa dunia tidak boleh membiarkan tragedi Darfur berulang dan perlu segera bertindak bagi mengelakkan sejarah hitam itu daripada berulang.