fb fb fb fb fb

SPRM & AGC rangka undang-undang baharu perangi rasuah korporat

Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-58 dan peluncuran inisiatif Keep Malaysia Clean (KMC)/BERNAMA

PUTRAJAYA, 1 Oktober – Kerajaan secara prinsip bersetuju memperkenalkan kerangka perundangan Perjanjian Pendakwaan Tertunda atau Deferred Prosecution Agreement (DPA), bagi meningkatkan keberkesanan pendakwaan kes rasuah korporat di Malaysia.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM kini bekerjasama rapat dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk merangka peruntukan undang-undang itu, selaras dengan amalan negara maju.

"Hal ini adalah berasaskan amalan terbaik daripada negara-negara luar seperti United Kingdom, Amerika Syarikat dan Kanada. Amerika Syarikat, misalnya, telah lama melaksanakan undang-undang ini sejak tahun 1990.

Melalui peruntukan tersebut, sesuatu pendakwaan boleh ditangguhkan bagi kes-kes besar. Pendekatan DPA ini diperkenalkan sebagai satu bentuk polisi untuk kes-kes berkaitan, agar proses pemulihan aset dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-58 dan peluncuran inisiatif Keep Malaysia Clean (KMC), hari ini.

Selain mempercepat usaha pemulihan aset, DPA juga dapat memberi ruang untuk kerajaan mengurangkan kerugian dana awam akibat salah guna kuasa, serta meningkatkan keberkesanan pendakwaan kes rasuah korporat.

Justeru, Tan Sri Azam menyifatkan pelaksanaan DPA sebagai satu reformasi penting dalam sistem keadilan jenayah ekonomi negara.

Dalam pada itu, SPRM turut memperkenal inisiatif baharu iaitu “Keep Malaysia Clean” (KMC), sebagai platform nasional bagi membudayakan integriti dan menolak rasuah di semua peringkat masyarakat.

Inisiatif itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersempena ulang tahun SPRM ke-58 di Putrajaya.

Menurut Tan Si Azam, KMC dirangka bersama Panel Perundingan Pencegahan Rasuah (PPPR) dan bertujuan membina masyarakat yang cakna, berani dan berprinsip.

“KMC ialah platform strategik yang menggerakkan masyarakat daripada prasekolah hingga ke alam pekerjaan untuk membina budaya civic-minded society yang menolak rasuah,” jelasnya.

Beliau menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai pemangkin utama kepada usaha menjadikan integriti sebagai nilai teras dalam membentuk Malaysia yang bersih dan berwibawa.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI