fb fb fb fb fb

PM mahu penelitian segera isu berbangkit mengenai BUDI95

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil /RTM

PUTRAJAYA, 1 Oktober - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu isu-isu berbangkit berkaitan pelaksanaan Program Budi Madani RON95 (Budi95) diteliti dengan segera bagi memastikan pelaksanaan bantuan subsidi bersasar itu berjalan lancar.

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Perdana Menteri telah meminta supaya beberapa perkara diteliti dengan segera dan diuruskan Kementerian Kewangan termasuk pemandu e-hailing dan p-hailing.

“Selain turut meneliti isu melibatkan bot nelayan di Sabah, Sarawak serta beberapa kawasan di Semenanjung,” katanya pada sidang media pasca-Kabinet di sini.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kuota petrol bersubsidi sebanyak 300 liter di bawah Budi95 telah diperbaharui bermula 1 Oktober, selaras dengan kitaran baharu bulan ini.

“Ini bermaksud, sesiapa yang telah menggunakan kuota bulan sebelumnya, kini telah dikembalikan kepada jumlah asal sebanyak 300 liter.

“Kementerian Kewangan juga akan terus memaklumkan kepada rakyat sekiranya terdapat sebarang maklumat tidak tepat yang tular, dan penjelasan rasmi akan segera dikeluarkan,” katanya.

Mengulas mengenai laporan gangguan sistem di sebuah stesen minyak PETRON di Pasir Gudang semalam, Datuk Fahmi menegaskan masalah itu tidak melibatkan talian internet atau syarikat telekomunikasi, sebaliknya berpunca daripada kerosakan peranti access point di stesen berkenaan.

AHMAD ASHRAF BIN AB RAHMAN