PUTRAJAYA, 1 Oktober – Sekurang-kurangnya 20,000 wanita berusia 30 tahun disasar menjalani saringan kanser payudara sepanjang Oktober hingga Disember ini, bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2025.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kanser payudara kekal sebagai penyumbang utama kematian akibat kanser di Malaysia.
Lebih separuh daripadanya masih dikesan pada peringkat lewat.
Jelasnya, usaha meningkatkan kesedaran dan pengesanan awal amat penting bagi menyelamatkan lebih banyak nyawa, dengan pelaksanaan saringan komuniti ke 83 lokasi seluruh negara, termasuk 20 hospital panel Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).
"Bersempena kempen bermula bulan ini, iaitu Oktober sehingga Disember, kami bertekad melakukan saringan kepada 20,000 wanita berumur 30 ke atas...ini sebagai inisiatif saringan yang paling mustahak." katanya.
"Kedua buat pemeriksaan klinikal payudara bagi wanita berumur 30 hingga 60 dan juga rujukan memogram secara percuma khususnya kumpulan B40." ujarnya selepas melancarkan Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2025 di Putrajaya.
Bertemakan “Bersatu Demi Wanita: Sebarkan Kesedaran, Selamatkan Nyawa”, kempen kali ini dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), universiti serta media, dengan pengisian seperti kempen kesedaran, jelajah mammogram, Pink Ball Futsal Tournament dan acara kemuncak Pink Ribbon Run.
Menurut statistik Registri Kanser Kebangsaan, kes baharu kanser payudara di Malaysia terus meningkat, daripada 18,206 kes bagi tempoh 2007–2011 kepada 21,634 kes antara 2012–2016, sebelum melonjak kepada 29,534 kes pada 2017–2021.
Manakala bagi tempoh 2022 hingga 2023 sahaja sudah mencatatkan 12,820 kes baharu dengan kadar insiden 38.1 nisbah bagi setiap 100,000 wanita, lebih separuh dikesan pada tahap 3 dan 4.
Datuk Seri Dr Dzulkefly turut menegaskan kejayaan inisiatif ini memerlukan sokongan menyeluruh daripada semua pihak bagi memperluas capaian saringan serta memastikan rawatan awal dapat diberikan kepada golongan berisiko.