fb fb fb fb fb

Kapal misi GSF semakin menghampiri Zon Merah

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ketika sidang media khas di Putrajaya/FB FAHMI FADZIL

KUALA LUMPUR, 1 Oktober– Global Sumud Flotilla yang membawa misi kemanusiaan ke Gaza dijangka memasuki Zon Merah R3 pada 9 malam ini waktu Malaysia, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Menurut laporan Sumud Nusantara Command Center (SNCC) kapal-kapal berkenaan, yang kini berada di zon kuning, turut berdepan situasi tegang pada 8.45 pagi tadi (waktu Malaysia) apabila dihampiri kapal dipercayai milik rejim zionis Israel.

“Kapal yang dipercayai milik rejim Zionis Israel telah dikesan menghampiri flotilla, selain terdapat 10 unit dron turut mengelilingi kawasan berkenaan. Namun setakat ini tiada pintasan fizikal dilaporkan,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Datuk Fahmi turut memberitahu, sekiranya bot-bot mereka dipintas serta terputus hubungan, beberapa langkah telah disiapkan dan akan diaktifkan mengikut prosedur.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, bahawa beberapa bentuk bantuan telah disusun termasuk untuk keluarga 34 peserta di tanah air.

Selain menegaskan sokongan naratif Malaysia terhadap usaha perdamaian di Gaza.

“Mesej jelas yang dibawa adalah solidariti bersama rakyat Palestin, dan Malaysia berdiri teguh dalam menyokong misi ini walau berdepan ancaman,” katanya.

"Pergerakan (peserta GSF) secara langsung (menerusi) kamera litar tertutup (CCTV) yang telah dilengkapkan di atas kapal-kapal telah mula dipancarkan untuk tontonan dunia sekiranya berlaku sebarang insiden.

"Kita doakan misi GSF ini berjaya dan para peserta sentiasa selamat. Kita perlu terus bantu untuk bina naratif bagi menyokong perdamaian di Gaza dan juga usaha GSF ini mencapai kejayaan," katanya.

Malaysia menjadi negara pertama yang mengiktiraf misi berkenaan menerusi sokongan Perdana Menteri.

SITI NOORAIN ABDULLAH