fb fb fb fb fb

SPR terima hampir 1,400 kertas penamaan calon PRU ke-15

(Foto fail)

PUTRAJAYA, 6 November- Sebanyak 1,386 kertas pencalonan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) PRK DUN N.66 Bugaya, Sabah diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang tempoh sejam proses penamaan calon berlangsung bermula 9 pagi hingga 10 pagi, semalam.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan berkata daripada jumlah itu, sebanyak 945 kertas penamaan bagi kerusi Parlimen, 434 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tujuh bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya.

Menurutnya, sebanyak enam kertas penamaan telah ditolak iaitu empat di kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN.

Calon paling ramai bertanding berusia 50 hingga 59 tahun iaitu seramai 443 orang.

Calon berusia lebih 60 tahun adalah seramai 352 orang, calon berusia 40 hingga 49 tahun adalah 350, calon berusia 30 hingga 39 seramai 205 orang manakala calon berusia 21 hingga 29 seramai 36 orang.

(Tan Sri Abdul Ghani memaklumkan SPR terima hampir 1,400 kertas penamaan calon PRU
ke-15)

"Bilangan pertandingan mengikut penjuru yang paling banyak ialah empat penjuru melibatkan 82 kerusi Parlimen manakala kerusi DUN ialah tiga penjuru melibatkan 51 kerusi," katanya.

SPR telah menubuhkan sebanyak 625 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti calon-calon yang bertanding ketika berkempen.

Tempoh rasmi berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh Pegawai Pengurus hingga 11.59 malam, 18 November 2022.

SPR juga menegaskan bahan kempen mengandungi perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau hasutan yang boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan.


Media Baharu