KUALA LUMPUR, 10 September – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menegaskan poster yang memaparkan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 yang tular di media sosial adalah palsu dan tidak benar sama sekali.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata sehingga kini, tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh pihaknya berhubung pembubaran DUN Sabah mahupun penetapan tarikh-tarikh penting bagi PRU berkenaan.
“Maklumat mengenai pilihan raya termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon dan hari mengundi hanya akan dikeluarkan melalui saluran rasmi SPR iaitu portal rasmi, sidang media dan kenyataan media.
“Penyebaran maklumat palsu seumpama ini adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang menyebar, berkongsi atau menerbitkan maklumat palsu di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang lain yang berkaitan.
SPR dalam pada itu menyeru orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang maklumat yang tidak sahih. Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat tepat hanya melalui saluran rasmi SPR.