GEORGE TOWN, 10 September- Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyatakan keyakinan bahawa persetujuan tapak bagi projek bekalan air antara Perak dan Pulau Pinang akan dapat dicapai dalam tahun ini.
Dua mesyuarat rundingan telah diadakan dan perbincangan lanjut dijangka akan diteruskan dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi.
Dengan penambahan kapasiti bekalan air sebanyak beberapa ratus juta liter setiap hari, projek strategik yang akan bermula pada tahun 2026 itu dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2031.
"Dua mesyuarat rundingan telahpun berlangsung dan saya menjangka rundingan akan diteruskan sedikit masa lagi sebelum persetujuan mengenai tapak dicapai.
Saya optimis persetujuan itu boleh dimuktamadkan dalam tahun ini juga, insya-Allah dalam tempoh kira-kira dua bulan lagi," kata Kon Yeow kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran “Negalitres For Schools 2.0” di Komtar, petang tadi.
Dalam majlis itu, sebanyak 170 buah sekolah di Pulau Pinang akan menjadi sasaran projek kelestarian air, Negalitres for Schools Penang 2.0.
Projek yang dilancarkan oleh Water Watch Penang (WWP) itu akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun untuk mempromosikan penjimatan air dan mengurangkan kebergantungan kepada air terawat.
Setiap sekolah terpilih akan menerima pemasangan kelengkapan penjimatan air seperti peranti khas, di samping pendidikan mengenai pengurusan air lestari.
Inisiatif tersebut merupakan kesinambungan fasa pertama yang berjaya menjimatkan lebih 100 juta liter air setiap tahun.
Ia dilaksanakan tanpa sebarang kos kepada pihak sekolah mahupun Jabatan Pendidikan, dengan sokongan pelbagai rakan strategik termasuk PBAPP, Intel dan Micron Technology.
Usaha berkenaan diharap dapat menyemai tabiat penjimatan air dalam kalangan generasi muda, selaras dengan matlamat kelestarian negeri Pulau Pinang.