PUTRAJAYA, 10 September – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan pihaknya sentiasa terbuka dalam menangani isu rayuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), termasuk melibatkan pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mendakwa dipinggirkan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata proses rayuan dibuka setiap tahun bagi memberi peluang kepada pelajar yang layak, memandangkan jumlah permohonan mencecah ratusan ribu.
“Dalam tempoh seminggu dibuka, kita menyaksikan ramai pelajar hadir mengemukakan rayuan. Perkara ini memang berlaku saban tahun kerana jumlah pemohon terlalu besar.
“Pada masa sama, kementerian sentiasa terbuka meneliti sebarang aduan termasuk kemungkinan berlaku kesilapan teknikal atau kekurangan dalam proses,” katanya selepas menghadiri Program Karisma Antarabangsa: Kenegaraan Malaysia Madani, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, sistem pemilihan UPUOnline berasaskan meritokrasi yang menilai calon STPM, matrikulasi dan asasi secara setara.
Tuduhan bahawa sistem berkenaan rosak adalah tidak tepat kerana ia sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa.
Menurut Zambry, KPT bersama universiti juga bersedia memberi penjelasan kepada mana-mana pihak termasuk calon yang membuat rayuan, bagi mengelakkan isu kemasukan dijadikan polemik politik sehingga menjejaskan masa depan pelajar.
Sementara itu, Program Karisma Antarabangsa hari ini menghimpunkan seramai 400 bakal mahasiswa tajaan yang akan melanjutkan pengajian ke luar negara, khususnya ke Timur Tengah, United Kingdom dan Australia, bagi sesi akademik 2025/2026.