KUANTAN, 10 September- Seramai 668 pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun 2024 menerima RM1,000 setiap seorang menerusi pemberian insentif.
Oleh itu, sejumlah RM668,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri Pahang sebagai menghargai pencapaian mereka.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, seramai 591 pelajar SPM memperoleh semua A, 65 pelajar STPM mendapat PNGK 4.0 dan 12 pelajar STAM mencapai Mumtaz.
Sebelum ini, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pernah mengumumkan sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi pemberian insentif pendidikan.
Namun, baki peruntukan akan diserahkan kepada kerajaan menerusi Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang bagi tujuan pendidikan di negeri itu.
"Seramai 668 pelajar cemerlang diraikan pada hari ini. Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi Anugerah Pelajar Cemerlang. Untuk hari ini, seramai 668 pelajar menerima anugerah dengan jumlah keseluruhan RM668,000.
Ini bermakna masih terdapat baki daripada peruntukan tersebut. Jika 1,000 pelajar menerima anugerah, barulah keseluruhan RM1 juta dapat disalurkan. Baki yang ada ini saya serahkan kepada Exco Pendidikan, YB Datuk Seri Mohd Soffi untuk menggunakannya sebaik mungkin, agar keseluruhan peruntukan RM1 juta itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya," kata Datuk Seri Wan Rosdy, hari ini.
Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan SPM, STPM & STAM 2024 Negeri Pahang Darul Makmur di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
Gred Purata Negeri (GPN) SPM 2024 meningkat kepada 4.23, mengekalkan Pahang di kelompok kedudukan tiga negeri terbaik kebangsaan.
Kejayaan itu membuktikan pendidikan di negeri Pahang sedang bergerak pada landasan yang tepat.
Dalam pada itu, 71 buah sekolah turut menerima Anugerah Khas dengan masing-masing membawa pulang RM3,000.