PUTRAJAYA, 10 September - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan rejim israel menyerang negara lain dengan sewenang-wenangnya, sebagai keterlaluan serta bukti jelas kegagalan sistem dunia masa kini.
Beliau menegaskan, keadaan itu jelas menunjukkan dunia membenarkan jenayah secara terbuka, tanpa sebarang tindakan tegas daripada kuasa besar atau institusi antarabangsa.
“Kerana kebiadaban israel itu keterlaluan. Ia boleh menyerang mana-mana negara atas apa alasan pun, dan ini kita telah kutuk keras. Ini menunjukkan sistem dunia yang saya bicarakan sebelum ini gagal. Ini akan merosakkan seluruh sistem dan tatanan dunia,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan di Putrajaya, hari ini.
Menurut Datuk Seri Anwar, Malaysia bersedia menghubungi pemimpin negara Islam menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi mengutuk tindakan negara haram israel yang terus mencabuli hak asasi.
“Kalau perlu, saya akan hubungi Emir Qatar, termasuk beberapa pemimpin Islam lain seperti Erdogan dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman. Ini untuk fikirkan keperluan kerana kebiadaban israel itu amat keterlaluan,” ujarnya.