fb fb fb fb fb

Johor catat peningkatan ketara dalam permohonan sijil halal, rekod 3,500 sijil aktif

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid/BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 10 September- Johor merekodkan perkembangan positif dalam sektor halal dengan 3,500 sijil halal aktif di seluruh negeri setakat ini, melibatkan 2,470 pemegang sijil halal berdaftar.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata perkembangan itu didorong inisiatif dilaksanakan kerajaan negeri, termasuk mempercepat dan mempermudah proses permohonan.

"Peningkatan yang dicapai memberikan impak yang positif. Seperti dinyatakan tadi, terdapat peningkatan ketara dalam permohonan sijil halal serta kelancaran prosesnya. Kepantasan proses ini turut memberi galakan tambahan kepada para pengusaha.

Sebelum ini, kaedah yang digunakan bukan sahaja ketat, malah agak renyah atau dalam bahasa mudahnya, menyusahkan. Kini, penambahbaikan telah dilaksanakan agar proses tersebut bukan sahaja dipermudahkan, malah membolehkan kementerian berperanan sebagai fasilitator dan menjadi jambatan penghubung dengan jabatan-jabatan lain," kata Mohd Fared kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Halal Johor, di sini.

Sektor halal menjadi antara perkara yang diberi keutamaan dalam Zon Ekonomi Khas Johor Singapura (JS-SEZ).

Ini kerana kekuatan logistik di pintu masuk kedua-dua negara mampu memperkasa pengekpsortan produk halal Johor ke Asia Tenggara, Asia Barat dan Eropah.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM