KOTA KINABALU, 10 September - Prosiding hari kelima inkues kematian Zara Qairina Mahathir hari ini mendengar keterangan saksi keenam, Linah Mansoding, 65 tahun.
Linah merupakan pengawal keselamatan sekolah tempat kejadian.
Beliau memberitahu mahkamah, darah kelihatan keluar dari kaki dan tengkuk Zara ketika ditemui.
Menurut Linah, sekitar pukul 3 pagi pada 16 Julai lalu, beliau dimaklumkan oleh seorang pelajar bahawa terdapat pelajar pengsan di longkang Blok Rabiatul Adawiyah.
Beliau segera bertindak memaklumkan ketua warden sebelum ambulans tiba sejam kemudian.
Mahkamah turut diberitahu, blok asrama tiada kamera litar tertutup dan tiada palang besi.
Linah juga diminta mengambil gambar keadaan Zara ketika itu.
Katanya, talian telefon sekolah ditutup selama dua hari selepas kejadian.
Prosiding ditangguhkan tengah hari tadi.
Esok, mahkamah akan melawat lokasi kejadian bersama saksi pertama, Dr Jessie Hiu yang juga Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth.