fb fb fb fb fb

SPM Terengganu: 333 calon perolehi semua A

(FOTO RTM)

KUALA TERENGGANU, 8 Jun-Terengganu mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, SPM 2022 dengan nilai Gred Purata negeri sebanyak 4.59 berbanding Gred Purata kebangsaan (GPK) 4.74.

333 calon memperoleh keputusan semua A dalam semua matapelajaran kali ini berbanding 321 orang sebelum ini.

Pengarah Pendidikan Negeri, Abdul Muie Ngah berkata, Peratusan calon lulus semua mata pelajaran pula 59.81 peratus iaitu 9,617 orang.

Abdul Muie turut berkata, Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Kuala Terengganu muncul sekolah terbaik dengan GPS 1.31.

Tambah beliau, empat sekolah lain yang turut mencatatkan kelulusan 100 peratus ialah SM Imtiaz Besut, SM Imtiaz Setiu, SM Imtiaz Kemaman dan SM Imtiaz Dungun.

Sementara itu beberapa pelajar cemerlang SPM 2022 negeri ini turut berkongsi keceriaan di atas kejayaan dalam peperiksaan tersebut.

Khairul Anwar Zakaria, salah seorang pelajar kurang upaya yang cacat penglihatan berkata dia menjadikan sepupu dan rakan-rakannya sebagai pembakar kejayaan bagi mencipta kecemerlangan pada SPM kali ini.

"Saya mempunyai kawan yang saya sentiasa jadikan pesaing bagi berjaya. Ini termasuk sepupu saya bagi mendapatkan A bagi setiap mata pelajaran", katanya ketika ditemui RTM.

Sementara itu, Nur Nadiatul Mohd Razif yang berjaya mendapat 10 A pula berkata niat yang ikhlas dan doa daripada kedua-dua ibu bapa menjadi resepi kejayaannya.

"Semuanya datang daripada Allah SWT. Sebelum memulakan pelajaran saya sentiasa betulkan niat.

"Belajar kerana Allah. Allah akan permudahkan jalan. Doa daripada kedua-dua ibu bapa saya juga tidak pernah putus", katanya.

Dalam pada itu, Focal Person Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta Kebangsaan Terengganu, Mohamad Rofaat Khamid mengumumkan pemberian insentif seribu ringgit kepada enam pelajar cemerlang tahun ini.


(Pengarah Pendidikan Terengganu, Abdul Muie Ngah)

 

Media Baharu