(Jokowi (kiri) Anwar Ibrahim (kanan) dalam sidang media bersama
di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya)
PUTRAJAYA, 8 Jun- Hubungan akrab antara Malaysia dan Indonesia serta pemimpin kedua-dua negara berjaya mencari titik noktah dalam menyelesaikan pelbagai isu berlarutan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa memorandum persefahaman (MoU) berjaya dimeterai menerusi lawatan kerja Presiden Joko Widodo dan delegasinya ke Malaysia hari ini.
"Kerjasama dua hala ini telah sampai ke satu tahap yang sangat membanggakan dan akan memberi faedah dan manfaat, bukan sahaja kepada pemerintah serta kerajaaan tetapi kepada rakyat Malaysia dan Indonesia," katanya dalam sidang media bersama di Kompleks Seri Perdana, di sini.
Presiden Joko Widodo turut berharap hubungan akrab serta kesepakatan antara dua negara dapat diteruskan supaya proses rundingan bagi isu persempadanan lain dapat diselesaikan segera.
“Sudah banyak disampaikan Anwar. Pertama, saya sambut baik penyelesaian rundingan sempadan laut di Laut Sulawesi dan bahagian selatan Selat Melaka.
“Selepas 18 tahun (rundingan), ia berjaya diselesaikan. Alhamdulillah, Anwar dibantu barisan menteri.” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan atas komitmen Joko Widodo yang lebih dikenali Jokowi dalam memberi kerjasama bagi memudahkan proses penyelesaian isu tersebut.
“Ini hubungan sangat akrab serta memudahkan dan saya berbangga dengan pimpinan kedua-dua negara hari ini, kita dapat selesaikan satu isu yang telah kita runding selama berpuluh tahun,” jelas Anwar.
Anwar dan Jokowi turut menyaksikan pertukaran enam instrumen perjanjian dua hala.
Kali terakhir Jokowi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia adalah pada 2019, selepas dilantik semula bagi penggal kedua menerusi Pilihan Raya Presiden pada 17 April.
(Jokowi (kiri) Anwar Ibrahim (kanan) dalam sidang media bersama
di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya)