IPOH, 17 Jun-Seramai 1,106 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 di Perak direkodkan tidak hadir dan mengambil peperiksaan itu daripada jumlah keseluruhan 28,715 calon yang berdaftar.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, terdapat pelbagai faktor yang menjadi punca kepada perkara tersebut berlaku.
Jelasnya lagi, antara faktor-faktor tersebut ialah pelajar tidak lagi berminat bagi meneruskan pelajaran selain sudah mempunyai pekerjaan.
"Memang ada pelajar yang tidak mengambil peperiksaan SPM.
"Alasannya dia tidak beminat sebab dia sudah bekerja", kata Khairuddin.
"Kita tidak boleh salahkan skop pelajaran. Mungkin puncanya daripada diri pelajar itu sendiri atau persekitaran yang mempengaruhi pelajar-pelajar berkenaan", katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi dan Jalinan Kolaborasi empowerNCER Akademik di Kinta Riverfront, kelolaan Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI) di sini.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr Norkhalid Salimin dan Ketua Bahagian Operasi Yayasan Petronas, Tengku Noraida Tengku Mahmood.
Tambah Khairuddin, masalah berkenaan sedang diteliti di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama badan bukan kerajaan (NGO) agar tindakan susulan dapat dilakukan.
(Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak,
Khairudin Abu Hanipah/FOTO FB khairudin.abuhanipah)